Monday, 19 August 2013

Satu Tika Dahulu

ohh satu tika dahulu
sebelum aku mengenali apa itu alam maya
segala coretan. segala tinta. segala luahan hati yang bersarang dijiwa
akan aku lontarkan dalam lembaran-lembaran kertas pada buku tertentu.

dan..
hari ini,
aku buka semula.

aku tatap setiap tinta yang tercoret.
ada yang tertulis kemas, menggambarkan tika itu hati tengah riang.
ada juga yang bagai cakar ayam, mungkin saja tika itu hati tengah walang.

bila meneliti setiap baris demi baris aksara yang tertera
hati aku terdetik sendiri, betapa zaman kanak-kanak adalah zaman aku redah sahaja.
buat segala apa yang dipinta oleh hati. lakukan semuanya yang terdetik dalam fikiran sendiri.
kadang tanpa aku sendiri mengetahui; apa akibat dan kesan yang akan aku sendiri perolehi..

menyelak semula lembaran-lembaran remaja.
saat dimana aku belajar berdikari dan menyendiri jauh dari pangkuan keluarga.
saat yang dalam ingatan aku,  ketika itu aku mula membuka mata melihat pentingnya pelajaran.
menyedari ada harapan yang tergalas dipundak sendiri, ada impian yang ingin melihat diri sendiri berjaya..

saat itu juga aku mula celik pada persahabatan dan percintaan.
dalam bergelut dengan ilmu untuk ke menara gading, aku turut berjuang
menjayakan dunia persahabatan. aku menganalisa satu demi satu alam percintaan para sahabat.
dan hasilnya sampai sekarang aku menyendiri, yakin dengan cinta hanya akan wujud selepas pernikahan.

berkali juga aku cuba untuk menghapuskan ruang kenangan yang tercoret.
tapi setiap kali tangan cuba melontar; hati membisik menegah.
dan hari ini aku ambik keputusan yang sama sekali lagi.
entah esok, entah lusa atau tulat bakalan aku
lemparkan segalanya.

bukan aku kejam.
bukan niat aku ingin melupakan.
tapi...
setiap kali aku buka semula
aku nampak 'kebodohan' seorang aku yang semalam.
aku lihat jatuhnya seorang aku pada waktu lalu.

biarlah. biar hanya kenangan indah
bersama sahabat-sahabat tersayang dalam ingatan.
yang pahit. yang perit. yang pedih.
ingin aku buang jauh..

untuk itu,
ini mungkin kali terakhir
aku merenung bait-bait kata
yang aku sendiri coretkan dilembaran bisu
bertahun dahulu....

- berbicara dimata pena; dalam lembaran bisu tak bernyawa -